Namun di sebalik itu, ia bukan halangan bagi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk mengangkat semula kepentingan buah nadir ini dalam kehidupan.
Ini kerana, kajian menunjukkan buah nadir mempunyai pelbagai khasiat yang boleh dimanfaatkan dalam penjagaan kesihatan.
Usaha MARDI tersebut diterajui oleh Pusat Penyelidikan Sumber Strategiknya menerusi tiga program utama yang memfokuskan kepada sumber biologi (agrobiodiversiti), persekitaran pertanian dan juga pengurusan tanah.
Menerusi program agrobiodoversiti, ia melibatkan empat tumpuan kajian iaitu konservasi bank gen biji benih yang dilaksanakan sejak 1990-an bank gen ladang atau germplasma.
Kajian lain ialah mikroorganisma, kajian artropoda (serangga) dan juga kajian kimia.
Menurut Pengarahnya, Dr. Mohd. Norowi Hamid, penyelidikan mengenai kepelbagaian biologi buah-buahan nadir di MARDI bermula sejak tahun 1985 dan masih aktif sehingga kini.
“Tujuan utama penyelidikan ini ialah mengumpul dan memulihara sumber genetik daripada diancam kepupusan yang disebabkan pembangunan yang tidak terancang untuk kawasan perumahan dan perindustrian,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian dalam satu taklimat media di Serdang baru-baru ini yang turut dihadiri Timbalan Pengarahnya, Dr. Mohd. Shukri Mat Ali dan Pegawai Penyelidik (Taksonomi dan Anatomi Tumbuhan), Mohd. Norfaizal Ghazalli.
Benih buah-buahan nadir tersebut diperoleh menerusi aktiviti ekspedisi atau pengumpulan dari pelbagai kawasan seluruh negara seperti hutan, dusun dan kebun kecil. Benih tersebut kemudian disimpan secara ex situ di dalam bank gen ladang (germplasma) di beberapa stesen MARDI iaitu Serdang (Selangor), Jerangau dan Kemaman (Terengganu), Jelebu (Negeri Sembilan), Kuala Kangsar (Perak), Sintok (Kedah) serta Bukit Ridan (Pahang).
Menurutnya, sehingga ke hari ini, terdapat lebih 150 spesies buah-buahan nadir yang disimpan di bank gen ladang MARDI.
Selain itu, pencirian dan penilaian ke atas kesemua aksesi atau kutipan spesies dalam koleksi mahupun yang terdapat di kampung juga dijalankan dengan tujuan untuk mengenal pasti variasi spesies yang berpotensi dikomersialkan dan diperkenalkan kepada petani untuk tanaman secara berskala lebih tinggi.
Stesen MARDI Serdang sahaja mempunyai kawasan bank gen ladang buah-buahan seluas 43.5 ha (108 ekar).
Bank gen ladang itu terletak di kawasan Serdang A termasuk agropelancongan dan juga di Jalan Puchong.
Terdapat sebanyak 15 spesies utama buah nadir dan 153 spesies-spesies lain dipulihara di situ sejak tahun 1985.
Aksesi kuini sebagai contoh mempunyai jumlah yang tertinggi (100 aksesi) diikuti oleh cerapu, binjai, bacang, pulasan dan lain-lain spesies durian.
Arboretum A, B dan C merupakan koleksi buahan nadir utama di kawasan berkenaan, merangkumi sejumlah 26 genus utama dan 116 spesies yang dikumpulkan dari seluruh pelosok negara dan koleksi dari hutan simpan di negara ini.
Kedudukan Malaysia sebagai sebuah daripada 12 negara mega-kepelbagaian biologi di dunia kerana mempunyai kepelbagaian flora serta fauna yang tinggi merupakan satu kelebihan.
Daripada jumlah keseluruhan kepelbagaian biologi, Malaysia mempunyai kadar kepelbagaian spesies buah–buahan yang tinggi yang terdiri daripada buah-buahan tropika dan buah-buahan nadir.
Adalah dianggarkan terdapat kira-kira 370 spesies buah-buahan tropika di negara ini.
Dari sudut pengelasan, spesies buah–buahan ini boleh dikategorikan sebagai nadir dan liar.
Spesies buah-buahan utama telah didokumentasikan yang kebiasaannya dimakan dan ditanam secara komersial serta mempunyai kepentingan ekonomi.
Sebanyak 16 spesies buah-buahan telah dikelaskan sebagai spesies buahan utama dan telah dieksploitasi secara meluas di pasaran tempatan antaranya durian (Durio zibethinus), rambutan (Nephelium lappaceum), nangka (Artocarpus heterophyllus), cempedak (Artocarpus cempeden var. integer) dan dokong (Lansium domesticum).
Buah-buahan nadir pula merupakan spesies yang kebanyakannya terdapat liar di hutan dan ada juga ditanam di sekitar kawasan rumah atau dusun kecil di kawasan kampung serta tidak ditanam secara komersial.
Walau bagaimanapun, buah-buahan ini kurang didokumentasikan secara sistematik.
Pengeluaran hasil buah-buahan ini juga agak terhad kerana pokoknya tidak banyak ditanam dalam skala yang besar. Pokok ini mempunyai corak berbuah yang bermusim misalnya kundang, kuini, terap dan durian hutan serta ada yang tidak bermusim seperti cermai belanda dan cerapu.
Bagi setiap jenis buah-buahan nadir terdapat banyak variasi daripada segi saiz, warna isi dan juga rasa. Misalnya seperti buah binjai yang berbeza daripada segi saiz, warna kulit dan rasanya.
Buah-buahan ini selalunya dimakan segar dan digunakan secara tradisional sama ada sebagai bahan masakan atau produk makanan kegunaan keluarga.
Buah-buah nadir yang muda (belum ranum) boleh dimasak dijadikan gulai seperti bacang, cerapu atau dibuat kerabu.
Buahnya juga boleh diproses dibuat jus, jeruk dan dikeringkan untuk dijadikan perisa dalam masakan masyarakat tempatan. Selain buah, biji bagi sesetengah spesies buahan ini juga boleh dimakan.
khasiat ubatan
Buah-buahan nadir juga mempunyai khasiat ubatan seperti belimbing buluh petai dan seperti jering yang dimakan untuk mengawal darah tinggi.
Terdapat juga spesies buah liar yang digunakan untuk membantu mengawal pertumbuhan sel kanser seperti kenerak kerana mempunyai potensi sebagai bahan antitumor atau antikanser.
Buah-buahan nadir dari kawasan tropika semakin mendapat tempat dalam penyelidikan sama ada dalam bidang farmaseutik, kosmeseutikal mahupun untuk keperluan nutrisi.
Kebanyakan spesies buah-buahan nadir ini mempunyai potensi sebagai sumber bahan kimia semula jadi yang bermanfaat kepada kesihatan iaitu contohnya mengandungi alfa-karoten dan betakaroten yang baik untuk kesihatan mata.
Selain itu, spesies buah-buahan nadir ini mempunyai kandungan sebatian polifenol, vitamin C, asid lemak, garam mineral, dan asid amino yang tinggi.
Buah-buahan nadir yang biasanya terdapat di Malaysia adalah asam, bacang, bambangan, cerapu, durian, jambu, jering, kuini, pulasan dan sala.
Buah-buahan nadir ini ditanam untuk kegunaan seharian sebilangan penduduk kampung dan ditanam dalam keadaan asalannya iaitu liar.
Spesies ini cenderung untuk terdedah kepada pengurangan kepelbagaian genetik dan usaha untuk dokumentasikan amat perlu. Ini bertujuan mempelbagaikan dan meningkatkan varieti dan kultivar untuk kegunaan makanan dan kajian masa hadapan khususnya pembaikbakaan varieti buah-buahan baru yang berhasil tinggi, berkualiti dan tahan penyakit atau perosak serta tahan kepada perubahan cuaca melampau.
Pada masa kini, taburan spesies buah-buahan nadir adalah semakin berkurangan dan hanya mampu ditemui dalam jumlah yang agak sedikit.
Kebanyakan spesies ini juga sedang diancam kepupusan disebabkan oleh pelbagai faktor, seperti kemusnahan alam sekitar, perubahan cuaca melampau serta pembukaan kawasan untuk perumahan dan perindustrian akibat arus pemodenan negara.
Pada ketika ini, kajian mengenai spesies ini dilakukan untuk menentukan corak taburan, kepelbagaian dan juga kaedah yang bermanfaat untuk mengoptimumkan penggunaan sumber genetik yang sedia ada.
Ahli sains di seluruh dunia kini semakin giat melakukan proses inventori untuk menjejaki status asas kepelbagaian biologi di habitat liar yang mungkin boleh dijadikan sumber berpotensi untuk makanan penduduk dunia pada masa hadapan.
Dokumentasi
Proses dokumentasi dan penjejakan punca kepelbagaian sumber genetik pertanian ini amat penting supaya petani dapat memanfaatkan sumber genetik yang berpotensi ini untuk sumber baru makanan, mengurangkan ancaman terhadap hakisan sumber genetik, dan perkongsian maklumat mengenai kepentingan spesies tersebut.
Kepelbagaian sumber genetik pertanian ini terutamanya spesies pilihan petani (aksesi elit) menunjukkan kepelbagaian genetik yang amat berharga dalam usia ribuan tahun.
Proses pemerhatian morfologi, pemilihan semulajadi, pertukaran sumber genetik dan pembaikbakaan secara informal oleh petani sedia untuk dieksploitasi potensinya bagi kepentingan masyarakat.
Justeru, usaha sedang dan akan terus dijalankan oleh MARDI melalui Pusat Penyelidikan Sumber Strategik untuk memulihara sumber genetik buah-buahan nadir dan liar agar ia tidak pupus ditelan zaman.
Buah-buahan ini dipulihara secara hidup iaitu ditanam di ladang-ladang atau dipanggil germplasma (janaplasma) di pelbagai lokasi di seluruh negara (stesen-stesen MARDI) seperti di Jerangau, Kemaman, Sintok, Jelebu dan juga di Serdang.
Pengumpulan dan pemuliharaan untuk makanan dan pertanian di negara ini akan dapat diwarisi zaman berzaman untuk generasi akan datang.
Spesies buah-buahan nadir merupakan spesies yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan saintis tempatan.
Jika pada masa dahulu, kebanyakan buah-buahan nadir ini hanya di tanam di kebun kecil untuk mendapatkan buahnya bagi makanan sahaja, kini senario ini semakin berubah.
Di Malaysia, spesies buah nadir yang semakin mendapat tempat bagi proses komersial adalah ara (Ficus spp.), asam gelugur (Garcinia atroviridis), ceri Terengganu (Lepisanthes fruticosa), durian hutan (Durio spp.). kedondong (Spondias cytherea), pulasan (Nephelium ramboutan-ake), sukun (Artocarpus altilis) dan pinang (Areca catechu).
Selain itu, terdapat juga spesies buah nadir lain yang dikategorikan sebagai berpotensi untuk dikomersialkan seperti kundang, jambu bol, bidara dan nona.
Spesies ini mengeluarkan buah secara bermusim dan penanaman untuk spesies tersebut secara skala yang besar pada masa kini semakin bertambah.
Dalam pada itu, MARDI merancang memperhebatkan penyelidikan mengenai buah nadir dan akan membuat permohonan untuk menambah peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas.
Kajian termasuk meneroka khasiat buah nadir dan mengumpul maklumat pengetahuan tradisional menerusi pelbagai sumber.